26.10.22

Panglima Awang Hitam : Sunnah Menamakan Barang Peribadi.

Kalau dulu aku menamakan motosikal Yamaha YZF-R25 aku dengan nama #GadisBertudungBiru, Kenapa aku namakan Honda CBR650R aku sebagai Panglima Awang Hitam? Beza kan? Dari keayuan kepada kejantanan. Hahaha..  

Panglima Awang Hitam

Nama ini sebenarnya terinspirasi dari sebuah novel sejarah karya Harun Aminurrashid yang diterbitkan pada tahun 1958 berjudul “Panglima Awang”. Novel ini berdasarkan sejarah Henry the black (henry si hitam) atau Enrique of Malacca (Enrique dari Melaka), seorang melayu yang bersama dengan kapten Ferdinand Magellan dalam misi pelayarannya mengelilingi dunia.

Aku menamakan motor aku dengan nama Panglima Awang Hitam ni, dengan harapan kalau tak dapat kelilingi dunia macam Henry the Black tu, dapat kelilingi Malaysia, cukup la. 

Sunnah Menamakan Barang.

Tahukah korang bahawa menamakan barang-barang kegunaan harian peribadi adalah merupakan satu sunnah nabi?

Berdasarkan hadis dari Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan,

“Apabila Rasulullah mengenakan pakaian baharu, Baginda akan memberikan nama dengan nama yang dikhususkan untuknya. Tidak kiralah serban, gamis ataupun selendang.”

(H.R. Tirmizi)

Banyak nama-nama barangan peribadi nabi yang agak popular. Contohnya Muezza, nama kucing nabi, Dzul Fiqar, nama pedang nabi, qaswa, nama unta nabi, dan sakb, nama kuda nabi.

Antara barangan peribadi nabi yang lain yang diberikan nama termasuklah : 

Nama gelasnya adalah ar-Rayyan

Nama tikarnya adalah al-Kazz

Nama cerminnya adalah al-Mudillah

Nama tongkatnya adalah al-Mamsyuq

Nama tongkatnya yang ujungnya besi adalah an-Namir

Nama kudanya yang berwarna hitam adalah as-Sakb

Nama kudanya yang berambut perang adalah al-Murtajiz

Nama kudanya yang lain adalah al-Lahif, az-Zharb, dan al-Lizaz

Nama unta (betina)-nya adalah al-Qashwa atau disebut pula al-Adhba’

Nama baghal-nya adalah Duldul

Nama keledainya adalah Ya‘fur

Nama kambing yang sering diminum susunya adalah Ghaytsah

Nama tabung panahnya adalah al-Kafur atau Dzul Jum‘

Nama busur panahnya adalah Dzus Sadad

Nama perisainya adalah al-Dzafn

Nama baju perangnya yang dilapisi tembaga adalah Dzat al-Fudhul


Korang ada barangan peribadi yang diberikan nama?



Sumber dan rujukan

Wikipedia : Panglima Awang. Dipetik dari https://ms.wikipedia.org/wiki/Panglima_Awang

Wikipedia : Henry si Hitam. Dipetik dari https://ms.wikipedia.org/wiki/Henry_si_Hitam

Ikhlas. (2021) Sunnah Menamakan Barang. Facebook Photo. Dipetik dari https://www.facebook.com/ikhlasdotcom/photos/sunnah-menamakan-barangabu-said-al-khudri-ra-meriwayatkan-apabila-rasulullah-men/279323760307612/

C Jangkang. (2011). Rasulullah Suka Menamakan barang-Barang Peribadinya. Iju Budak Baik. Dipetik dari http://buatbatu.blogspot.com/2011/08/rasulullah-suka-menamakan-barang-barang.html

Wikipedia: Muizzah. Dipetik dari https://ms.wikipedia.org/wiki/Muizzah

Syaikh al-Allamah al-Muhaddits Yusuf Ismail an-Nabhani, Wasa’il al-Wushulila Syama’il al-Rasul (Dar el-Minhaj, Beirut, 2009)

Orang Pekan. (2019). Pedang-Pedang Yang Digunakan Baginda Nabi Muhammad S.A.W. The Patriots. Dipetik dari https://www.thepatriots.asia/pedang-pedang-yang-digunakan-baginda-nabi-muhammad-s-a-w/




24.8.22

Bertolak Ansurnya Orang Melayu Malaysia


Entri ke-4 blog aku bagi tahun 2022 ni. Sendu sangat ni. Sampai aku pun dah lupa yang aku ada blog. Sampai nak mengaku aku blogger pun malu. Hahaha.

Okay, berbalik kepada tajuk. Tidak, aku tak maksudkan dengan bertolak ansurnya orang melayu dengan kerakyatan orang cina dan india dibawah persekutuan Tanah Melayu saat tiba waktu merdeka. Mentang-mentang la sekarang kita dalam bulan kemerdekaan. kan?

Bertolak Ansurnya Orang Melayu Malaysia

Yang aku maksudkan adalah bertolak ansurnya orang melayu Malaysia bila tiba saat bertutur dalam perbualan seharian. Faham? Aku bagi contoh.

Orang melayu Indonesia, saat tiba ke Negara Malaysia, masih kekal dengan dialek bahasa indonesianya kalau bercakap dalam bahasa melayu. Langsung tidak berubah. 

Aku dapat idea tentang tolak ansur ini semasa aku bersarapan di kedai mamak yang selalu aku pergi, pagi tadi. Aku perasan hari ini, kedai mamak ni dah mula mengambil orang Indonesia sebagai pekerja. 

“permisi pak, ini teh tariknya.”

Cuba kalau orang melayu Malaysia ke tanah Indonesia. Langsung dingomong bahasa melayu dialek Indonesia jika bertutur dengan orang tempatan disana!

Pelik bukan? Jangankan ke Indonesia, saat bercakap dengan orang Indonesia dalam Malaysia sendiri, orang melayu Malaysia sudah bertukar ke dialek Indonesia pada pertuturannya. Tengok sahaja baru-baru ini di stesyen radio Hot fm bila Fad dan Fizi Ali menjemput penyanyi Indonesia, Keisya Levronka ke konti.


Malah, bila orang melayu Malaysia bercakap dengan orang cina dan india dalam bahasa melayu, terkadang akan bertukar dialek mengikut gaya percakapan orang cina dan india.

“taukey, wa mau angkat ini barang.”

“amoi, manyak cantik ini hari.” 

Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang harimau mengaum, Masuk kawan gajah berdering. 

Persoalannya, adakah ini suatu yang negative atau positif? 


  


22.6.22

Cukup ke motosikal 600cc?


Lama betul dah tinggal blog bersawang. Dan lama jugak aku tak tulis pasal moto. Kali ni terasa nak tulis pasal motosikal balik. Tulis tentang persoalan, Cukup ke motosikal 600cc?

Bagi yang belum tahu, Alhamdulillah, bulan februari tahun ni aku dah Berjaya tambah koleksi motosikal aku dengan pembelian moto Honda CBR650R. Azam tahun 2022 dah tercapai, Alhamdulillah. Sedikit info pasal motosikal Honda CBR650R ini, boleh tengok specs kat bawah ini.

Engine Type: 649cc liquid cooled inline 4 cylinder

Compression ratio : 11.6:1

Valve Train : DOHC, four valves per cylinder

Final Drive : #525 O-ring chain; 15T/42T

Cukup ke motosikal 600cc?

Cukup ke motosikal dengan sesaran enjin katagori middle-weight sport-touring ni? Jawapan ringkas bagi aku, cukup dah! Jawapan panjang, bergantung kepada tujuan korang beli motosikal.

Bunyi

Aku beli Honda CBR650R ni pertamanya sebab nak enjin inline 4 silinder. Nak bunyi yang smooth berbanding bunyi enjin 2 silinder R25 yang aku pernah pakai. So far aku amat berpuas hati dengan bunyi enjin Honda CBR650R ni.

Tapi, bergantung kepada cita rasa individu jugak. Sesetengah orang mungkin nak bunyi yang kasar macam inline 4 silinder crossplane macam motosikal Yamaha R1. 

Atau mungkin juga yang nak bunyi enjin menderum macam enjin v-twin, contoh macam aprilia shiver 750. Atau ada yang tak kisah, bunyi enjin inline 2 silinder pun dah cukup. Terpulang.

Kuasa 

Dengan kuasa bulan, akan menghukum mu! Eh, bukan. Dengan kekuatan Honda CBR650R sebanyak 93.8 hp bagi aku dah cukup sudah. Ada orang, selagi tak berkuasa atas 100hp, tak puas bagi dia. Bagi aku, 93.8 hp ni cukup la buat pakai daily ride dan weekend ride layan koner jalanan.

Lagipun, aku dah tukar ekzos scorpion. Kalau ikut atas kertas, sepatutnya kuasa aku akan naik 1hp. Tapi tak cuba dyno pun la. Sebab tak kisah sangat pun. Bunyi tu yang penting. Hahaha..

Top speed

Ha, part ni ramai yang nak tahu. So far aku pulas dapat la dalam 240km/j. cukup sudah bagi aku, tu pun takut-takut masa pulas habis throttle tu. Dulu masa naik Yamaha YZF-R25, rilex je pergi kerja pun dah full-throttle kejar top speed. Sekarang, dah start takut-takut nak sampai top. Cukup-cukup la.

Cornering

Walaupun Honda CBR650R ni Cuma katagori sport touring bike, dan bukannya pure sportbike, tapi takat nak layan koner jalanan tu, boleh dah. Cukup la nak buat asah tayar. Tak banyak, berbulu sikit pun jadi la walaupun tayar standard kilang!

Okay, takat sini dulu aku celoteh. Nanti aku review lagi.



Sumber dan rujukan : 

Zigwheels. Honda CBR650R. dipetik dari https://www.zigwheels.my/new-motorcycles/honda/cbr650r

Honda. CBR650R specification. Dipetik dari https://powersports.honda.com/street/sport/cbr650r/specifications

Mcs. Aprilia SL 750 Shiver. Dipetik dari https://www.motorcyclespecs.co.za/model/aprilia/aprilia_shiver_750%2007.htm

Wikipedia. Aprilia SL 750 Shiver. Dipetik dari https://en.wikipedia.org/wiki/Aprilia_SL_750_Shiver



7.2.22

Blog dan iklan


Memang dah lama sebenarnya aku seolah-olah berhenti seketika dari dunia blog. Sampai aku personal diri aku sendiri, layak ke aku bergelar seorang blogger? Hahaha.

Sejak aku baru buka balik blog aku, dan mula ber-blogwalking, aku mula perasan yang blog-blog kini tidak lagi seperti dahulu. Antara perubahan yang aku Nampak agak menonjol, blog kini lebih meriah dengan ruangan iklan. Terutamanya iklan dari google adsense. 

Blog dan iklan.

Bila aku perhati balik blog aku ni, Nampak “kosong” sangat dari sebarang iklan. Dulu ada la sedikit iklan nuffnang. Old school betul aku ni. Sekarang mana ada orang pakai nuffnang dah. Noob betol. Hahaha.. 

Aku rasa, semua ni berbalik kepada tujuan asal kita berblog. Kini aku berblog sekadar suka-suka, sekadar nak menulis. Tak mengharapkan pulangan dan habuan pendapatan dari blog.

Sebab tu sekarang ni aku pun dah buang semua iklan yang ada. Nampak “suci” sikit. Pageview, follower pun aku dah tak kejar dah. Kalau ada pembaca, adalah. Kalau ada orang yang nak komen, Alhamdulillah.

Apa yang korang harapkan dari blog?


25.1.22

Level Jawapan Persoalan Agama


Fuh, dah lama betul tinggalkan blog ni. Sekarang baru rasa nak update entri pasal persoalan yang dah lama aku terfikir ni. Perasan tak, kalau kita Tanya soalan pasal agama yang sama kepada beberapa orang ustaz, kadang-kadang kita akan dapat jawapan yang berbeza mengikut level ustaz tu.

Aku bagi contoh, soalan yang mudah saja. “adakah batal wudhuk jika bersentuhan dengan bukan mahram yang berlainan jantina?” soalan yang mudah, tapi kalau Tanya dengan lain ustaz, lain jawapannya. Antara jawapan bagi soalan ni  : 

Level 1 

Batal! 

(full stop. Jelas. Ringkas. Padat)

Level 2

Kita mazhab Syafie. Mazhab Syafie kata batal.

(masuk mazhab, tapi hanya Syafie sahaja)

Level 3

Mazhab Syafie kata batal. Tapi mazhab maliki dan Hambali kata tidak batal kalau sentuhan tanpa bernafsu. Kita mazhab Syafie. Jadi, hukumnya batal.

(ada penambahan info pandangan mazhab lain sekali walaupun masih menekankan mazhab Syafie)

Level 4

Mazhab Syafie kata batal. Tapi ada mazhab lain yang kata tak batal. Kita di Malaysia ikut mazhab Syafie, tapi boleh ikut mazhab lain kalau ada keperluan. Contohnya kalau tersentuh semasa melakukan ibadah tawaf, kita boleh ikut mazhab Hanbali dan Maliki yang mengatakan tidak batal wudhuk kerana sentuhan tersebut tanpa syahwat. Ini juga adalah pendapat mazhab Syafie yang marjuh (tidak kuat).

(ada peluang untuk ikut juga mazhab lain dengan bersebab)

Level 5

Berdasarkan petikan ayat daripada surah Al-Maidah ayat ke-6, 

……..dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan,……

Maka perkataan “sentuh” (laamastumu) dalam ayat tersebut dari segi bahasa membawa maksud “saling sentuh-menyentuh” yang menunjukkan jimak. Mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam erti kata kulit dengan kulit semata-mata.

Dan dari hadis pula, daripada ‘Aisyah r.’anha: “Aku pernah tidur di hadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu aku pun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)

Dan ada hadis lain juga daripada ‘Aisyah r.’anha: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tangan ku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.” (HR Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah r.ha. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah r.ha. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wuduk baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Maka, berdasarkan 2 hadis diatas, nyatalah setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wuduk. Ini adalah pendapat mazhab Hambali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah.

(berjela-jela)

Level kita?

Tak semua orang boleh menerima jawapan dari sesetengah level tersebut. Level jawapan ini kena bergantung kepada level orang yang menanya soalan juga. Jadi, kalau korang suka jawapan yang jenis macam mana? 


Rujukan

1. Norhasliza Shafi. (2019). Bila suami isteri bersentuhan ketika ada wuduk, batal atau tidak wuduk sebenarnya. Kashoorga. Dipetik dari https://www.kashoorga.com/bila-suami-isteri-bersentuhan-ketika-ada-wuduk-batal-atau-tidak-wuduk-sebenarnya/

2. Norsiah M. (2018). Sentuh Kulit Batal Wuduk – Pandangan Mazhab. Uito. Dipetik dari https://www.uito.org/2018/01/16/sentuh-kulit-batal-wuduk-pandangan-mazhab/

3. Muhammad Fathi Noordin. (2019). Al-Kafi #1118: Physical contact between husband and wife invalidate ablution?. Mufti of federal Territory, Malaysia. Dipetik dari https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3136-al-kafi-1118-physical-contact-between-husband-and-wife-invalidate-ablution

4. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2016). Al-Kafi #421 : Bersentuhan antara lelaki dan wanita ketika tawaf, adakah membatalkan wudhu’? dipetik dari https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1331-al-kafi-421-bersentuhan-antara-lelaki-dan-wanita-ketika-tawaf-adakah-membatalkan-wudhu

5. Kurau King. (2016). Part 20: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (rajih dan marjuh). Dipetik dari https://kurauking.blogspot.com/2016/08/part-20-memahami-hukum-syariat-dalam.html

6. Surah.My: Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu. Surah Al-maidah, 5:6. Dipetik dari https://www.surah.my/5