29.3.19

KERJA RUMAH TANGGUNG JAWAB SUAMI?


Pernah terbaca tak satu dakwaan terutamanya dari laman social media yang mengatakan dalam islam, kerja rumah (memasak, membasuh pakaian, etc) adalah sebenarnya tanggung jawab suami dan bukan isteri?


Aku terbaca dakwaan ini dalam twitter, khabarnya penulis twitter tu dapat info dari kursus kahwin yang dihadiri. Kata penceramah di kursusu tersebut, tugas melaksanakan urusan kerja rumah sebenarnya tanggung jawab suami, dan bukan tanggung jawab isteri. Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut?


Kerja rumah tanggung jawab suami



Jumhur ulama berpandangan seorang suami tidak berhak mendapatkan khidmat seorang isteri mengerjakan kerja-kerja rumah tangga di dalam rumah serta tidak wajib isteri melayani keperluan suami melainkan dengan kemahuan isteri sendiri berbuat demikian tanpa ada paksaan atau mewajibkan kepada isteri.[1]

Mazhab Hanafiyyah


memetik pandangan imam ‘Ala’ al-Din alKasani dalam kitab Bada‘i’[2]; “Sekiranya suami datang membawa makanan yang perlu dimasak lalu isteri enggan memasaknya maka isteri jangan dipaksa berbuat demikian”, sebaliknya suami perlu membawa makanan yang sudah siap dimasak.


Mazhab Malikiyyah


Disebutkan dalam kitab al-Syarh alKabir[3]; Wajib bagi suami memberikan khidmat kepada isterinya; (jika suami mempunyai keluasan rezeki), dan isteri (orang yang mempunyai kedudukan/kemuliaan) maka tidaklah menjadi kewajipan isteri untuk berkhidmat (melakukan kerja-kerja rumah). Justeru suami wajib menyediakan pembantu bagi isterinya.Tetapi jika suami tidak berkemampuan, maka isteri hendaklah melakukan kerja-kerja rumah untuk suaminya meskipun isteri seorang yang kaya dan mempunyai kedudukan/kemuliaan, tetapi isteri tidak dituntut melakukan kerja-kerja tersebut untuk tetamunya.

Mazhab Syafi‘iyyah



Abu Ishaq al-Syirazi dalam kitab Muhazzab[4]; Tidak wajib bagi seorang isteri memberikan khidmat membuat roti, memasak, membasuh dan sebagainya, kerana yang ditetapkan dalam perkahwinan adalah memberikan khidmat seksual, justeru khidmat selainnya adalah tidak menjadi kewajipan bagi isteri.

Pandangan ini juga dipetik oleh Wahbah Zuhayli dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh [5]

Mazhab Hanabilah


Tidaklah seorang isteri melayani suaminya dengan menguli tepung, membuat roti, memasak, menyapu dan sebagainya kerana yang ditetapkan dalam perkahwinan adalah memberikan layanan seksual, justeru hal-hal selain itu tidak menjadi kewajipan bagi isteri melakukannya. Bagaimanapun menurut mazhab ini, adalah lebih utama bagi seorang isteri melakukan apa yang menjadi adat kebiasaan.[6]

Kerja rumah tanggung jawab isteri



Namun, ada pandangan ulama’ yang cenderung mengatakan kerja-kerja rumah kepada isteri. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah. Rasulullah SAW sendiri telah membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah di tugaskan kepada Fatimah[12]

Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam. Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA dengan mengisar gandum dan sebagainya.

Dalam Raudhah al-Nadiyyah oleh Sayyid Siddiq Hasan Khan menyebut: “Ia berbeza mengikut tempat dan masa, keadaan seseorang individu. Nafkah di masa mewah dengan cara baik dan di waktu ekonomi meleset dengan cara yang sepatutnya.”

Menurut Ustadz Aris Munandar[13], Isteri wajib taat kepada suami asalkan perintah suami bukan maksiat. Jika suami memerintahkan istri untuk masak misalnya dan istri mampu untuk masak karena dalam kondisi sehat, maka memasak dalam hal ini adalah kewajiban yang membuahkan dosa jika tidak dijalankan.

Mereka juga berhujjah dengan hadis daripada Ali bin Abi Thalib RA seperti berikut :

Ali bin Abi Thalib berkata bahawa Fatimah mengadu sakit tangannya kerana menumbuk tepung dan ketika itu pula ada seorang pelayan yang menawarkan dirinya (untuk berkhidmat) kepada Rasulullah. Fatimah datang menemui Rasulullah untuk meminta seorang pembantu tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah dan hanya bertemu dengan Aisyah. Kemudian Fatimah berpesan kepada Aisyah. Ketika Rasulullah tiba di rumah, Aisyah pun memberitahu baginda tentang kedatangan Fatimah. Ali berkata, lalu Rasulullah pergi ke rumah kami ketika kami tengah berbaring hendak tidur. Maka kami segera bangun, tetapi baginda mencegahnya seraya berkata: “Tetaplah di tempat kalian!” Kemudian Rasulullah duduk di antara kami hingga saya merasakan dinginnya telapak kaki baginda yang menyentuh dada saya. Setelah itu, Rasulullah bersabda: “Inginkah kalian berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta? Apabila kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) tiga puluh empat kali, tasbih (Subhanallah) tiga puluh tiga kali dan tahmid (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.”[7]

Sekiranya kerja-kerja rumah adalah tanggungjawab suami, sudah pasti Rasulullah SAW akan meminta Ali RA memenuhi permintaan Fatimah RA dengan menyediakan pembantu kepada Fatimah RA atau mengupah seseorang untuk melakukan kerja-kerja rumah atau meminta Ali RA sendiri yang melakukan kerja-kerja tersebut[8].

Tetapi rutin isteri melakukan kerja kerja rumah tangga dalam hadis Fatimah RA tidak membawa maksud kerja-kerja tersebut wajib dilakukan isteri sebaliknya hanya menunjukkan kebiasaan seorang isteri melakukan kerja kerja tersebut dan merupakan sebaik-baik bentuk pergaulan dan pekerti mulia yang ditunjukkan oleh seorang isteri dan puteri Nabi. 

Penetapan kewajipan kerja-kerja rumah tangga di pihak isteri adalah mengambilkira ‘urf di sesebuah kawasan atau budaya setempat yang biasanya meletakkan kewajipan mengerjakan kerja-kerja rumah tangga dalam rumah tangga kepada isteri. Ini bermakna penetapan kewajipan ini berkait rapat dengan sosio budaya masyarakat.

Kerja rumah tanggung jawab bersama


Kebanyakan ulama termasuk mazhab Shafii mengatakan kerja-kerja rumah tangga bukan kewajipan isteri mahupun hak suami yang dapat dituntut. Bahkan ulama yang mewajibkan isteri melakukan kerja kerja rumah tangga masih memberikan ruang dan keringanan kepada isteri untuk tidak melakukan kerja-kerja ini jika ada sebab yang menghalangnya berbuat demikian.

suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri masing-masing seperti mesin basuh, alat memasak yang moden seperti periuk nasi dan lain-lain yang sudah barang tentu akan meringankan dan menyenangkan isteri.

kerjasama suami melibatkan diri dengan kerja-kerja rumah tangga sangat penting dan sebaik-baik ihsan dalam perhubungan. Hal ini sangat dianjurkan dalam Islam berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW sebaik-baik teladan dan pedoman para suami.

Daripada al-Aswad bin Yazid katanya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya iaitu membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu solat, baginda pun keluar untuk solat (ke masjid)”.[10]

Dalam hadis lain diceritakan baginda SAW sendiri membuat kerja-kerja rumah tangga seperti menjahit baju, menampal kasut dan lain-lain. Antaranya:

“Daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada bapanya; “Seorang lelaki bertanya kepada Aisyah: Adakah Nabi SAW melakukan kerja-kerja di rumah”? Aisyah menjawab: “Ya, baginda sendiri menampal kasutnya dan menjahit bajunya dan baginda juga membuat pekerjaan di rumah sepertimana yang dibuat oleh orang lelaki (suami) di rumah mereka”[11]

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa penglibatan suami dalam kerja-kerja rumah tangga sangat dianjurkan dalam Islam dan merupakan ihsan dalam perhubungan suami isteri yang ditunjukkan Rasulullah SAW yang wajar diteladani oleh para suami.

dengan memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti sebuah kehidupan dalam mengasuh mendidik anak bangsa generasi seterusnya, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi, bantu-membantu antara suami isteri boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati. Isteri dan anak-anak menjadi qurratul ain kepada suami masing-masing.

wallahu wa a'lam...

Sumber dan rujukan
1. ‘Abd al-Karim Zaydan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’at wa Bayt alMuslim fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah (Bayrut: al-Risalah, 2000), 302.
2. ‘Ala’ al-Din Abi Bakr bin Mas‘ud al-Kasani, Bada’i‘ Sana’i‘ fi Tartib al-Syara’i‘ (Bayrut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2003), 150
3. Syams al-Din Muhammad ‘Arfa al-Dasuqi, Hasyiyah al-Dasuqi ‘ala Syarh al-Kabir (t.tp: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, t.th), 510-511.
4. Abu Ishaq al-Syirazi, al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1996), 236. 
5. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (Damsyiq: Dar al-Fikr, 2002), 6850.
6. Abu Muhammad ‘Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah, al-Mughni (Riyad: Dar ‘Alam al-Kutub, 1997), 225
7. Al-‘Asqalani, Fath al-Bari, Kitab al-Khumus, Bab al-Dalil ‘ala ‘ana al-Khumus li Nawa’ib Rasul Allah wa al-Masakin, no. hadith 3009; Kitab Fada’il Ashab al-Nabi, Bab Manaqib ‘Ali bin Abi Talib, no. hadith 3578, Kitab al-Nafaqah, Bab ‘Amal al-Mar’ah fi Bayt Zawjiha, no. hadith 5163 dan 5164.
8. Ahmad bin ‘Ali bin Hajr al-‘Asqalani, Fath al-Bari (Riyad: Maktabat al-‘Abikan, 2005), 417; ‘Abd al-Karim Zaydan, al-Mufassal, 305.
9. Al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 417, ‘Abd al-Karim Zaydan, alMufassal, 305
10. Al-‘Asqalani, Fath al-Bari, Kitab al-Nafaqah, Bab ‘Amal al-Mar’ah fi Bayt Zawjiha, Bab Khidmat al-Rajul fi Ahlih, Bab Kayfa Yakun al-Rajul fi Ahlih, no hadith 5165, no. hadith 5824.
11. Al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 476.
12. laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2017 Jul 6). Al-Kafi #642: Mengemas rumah tugas suami atau isteri? dipetik dari http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/761-al-kafi-641-mengemas-rumah-tugas-suami-atau-isteri
13. Aris Munandar. (2012 Oct 27). Pembagian Tugas Rumah Tangga antara Suami dan Istri. KonsultasiSyariah.com . dipetik dari https://konsultasisyariah.com/14533-pembagian-tugas-rumah-tangga-antara-suami-dan-istri.html
14. Siti Halimah Putung, Dg Hafizah Ag Basir. Penglibatan Suami Dalam Kerja-Kerja Rumah Tangga: Kajian Kes Di Sabah. Jurnal Fiqh, No. 14 (2017) 1-26
15. Embun Karina. (2019 jan 24). Twitter. Dipetik dari https://twitter.com/embunkarina_/status/1088437616393900032
16. khairiena. (2019 jan 25). Twitter. Dipetik dari https://twitter.com/yienaaa_/status/1088625447376547841




3.3.19

Daging Aqiqah Boleh Untuk Non-Muslim?


“Abang dah jemput officemate abang mai kenduri aqiqah Ali?”soal isteri aku, tiba-tiba.
“dah. Semua orang masa perhimpunan pagi tadi.” Jawab aku
“sekali dengan non-muslim?” soal isteriku lagi.
“yup. Kenapa?”


Daging aqiqah tidak boleh untuk non-muslim


Mesti korang ada pernah dengar orang yang melarang daging aqiqah diberikan kepada non-muslim. Sebenarnya, ini hanya pandangan ulama’, bukan sesuatu hokum yang qat’ie (muktamat). Pandangan ini adalah antara pandangan dalam mazhab syafie dimana daging korban tidak dibolehkan untuk diberikan kepada non-muslim.

Antara isu berkenaan pendapat ini adalah daging korban termasuk dalam amalan ibadat dan seharusnya daging tersebut hanya diberikan kepada orang muslim sahaja. Manakala bagi daging aqiqah, dikiaskan hukum ini seperti daging korban.

Sebab itu wujudnya pandangan ini. Apabila disoal kepada ustaz azhar idrus dalam video youtube, beliau turut berpendapat dengan pandangan ini. Kata beliau, kalau untuk orang non-muslim, boleh diberikan daging yang lain khas untuk mereka dalam majlis aqiqah.

Daging aqiqah boleh untuk non-muslim


Tapi ada juga pandangan yang membolehkan daging aqiqah diberikan kepada orang non-muslim. Pendapat ini ada dalam pandangan mazhab hanafi. Dr MAZA dalam video youtube beliau apabila disoal tentang perkara ini, turut berpendapat dengan pandangan daging aqiqah boleh diberikan kepada non-muslim.

Seperti yang dah aku cakap tadi, ini Cuma pandangan. Boleh nak pilih mana-mana pandangan yang kita rasa boleh diterima. Asalkan kita tidak saling berbalah tetang perkara yang khilaf ini.

Wallahu a’lam

sumber dan rujukan:
1. Umar Mukhtar Mohd Noor.(2016 Jan 14). Hukum pemberian daging akikah dan korban kepada non-Muslim. Laman web rasmi penajabt mufti wilayah persekutuan. dipetik dari  http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1774-hukum-pemberian-daging-akikah-dan-korban-kepada-non-muslim
2. Bicara Agama: Bukan Islam boleh makan akikah. (2008 Nov 28). Utusan Online. dipetik dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
3. Dr. MAZA. (2016 Nov 21). Orang bukan Islam makan daging akikah. video youtube. dipetik dari https://youtu.be/n2g-isiUsDM
4. Ust Azhar Idrus. (2011 OCt 21). Daging Aqiqah & Qurban & Beri Jiran Kafir. video youtube. dipetik dari https://youtu.be/jweHpKto0rw