Kejadian pagi tadi masa aku bergerak keluar dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat kerja, berlaku dua insiden. Satu pasal Tendang dan satu lagi pasal Lampu Merah.
Kes 1 : Lampu Merah
Si bapa naik motosikal Honda RS150 bawa anak berbaju sekolah putih kat belakang. Sampai di simpang 4 trafic light, kalut dia tengok jam di tangan. Mungkin sudah lambat benar, fikirku. Dan kemudian selepas ditoleh ke kiri dan kekanan, terus maju memecut laju walaupun lampu isyarat masih merah.
Hanya sayu sahaja mata aku melihat dia pergi. Bila besar nanti, aku rasa si anak pun fikir, “oh, dulu bapak aku boleh je langgar lampu merah. Tak apa, tak salah.”
Dan tak mustahil jika ‘pengajaran hidup’ ini terus diajar kepada anak cucu beliau jugak. Maka jadilah 1 keturunan jenis tak reti nak ikut lampu isyarat. 1 keturunan langgar lampu merah.
Kes 2 : Tendang
Di hadapan aku ada seorang mamu naik motosikal Yamaha Y15ZR biru. Tiba di simpang 3, muncul kereta keluar dari simpang yang hampir membuatkan mamu tadi terlanggar mereta tersebut.
Aku lihat marah betul mamu tu. Tak cukup dengan hon, diangkatnya kaki macam nak tendang kereta tu. Aku yang hanya lihat dari belakang turut tersentak. Walaupun memang jelas salah kereta, tapi aku faham, kadang-kadang tak perasan. Murphy’s Law.
Mamu yang sama aku ikut sehingga ke simpang 4 trafic light tadi. Elok je dia berhenti di sebelah si bapa yang menunggang Honda RS150 membonceng anaknya yang berbaju sekolah.
Setelah si bapa dan anaknya meluncur laju melanggar lampu merah, si mamu pun turut sama ikut sekali. Masing-masing tak nak kalah, berlumba-lumba mengerjakan kesalahan lalu lintas.
Aku cuba bayangkan, kalaulah ada kereta yang keluar simpang masa tu kerana laluan dia menunjukkan lampu trafik berwarna hijau, lantas hampir langgar mamu tu tadi, mesti pemandu kereta tu marah-marah sambil hon.
Cuma aku tak pasti macam mana pemandu kereta tu nak tendang tanda protes dalam kereta beliau.