25.1.22

Level Jawapan Persoalan Agama


Fuh, dah lama betul tinggalkan blog ni. Sekarang baru rasa nak update entri pasal persoalan yang dah lama aku terfikir ni. Perasan tak, kalau kita Tanya soalan pasal agama yang sama kepada beberapa orang ustaz, kadang-kadang kita akan dapat jawapan yang berbeza mengikut level ustaz tu.

Aku bagi contoh, soalan yang mudah saja. “adakah batal wudhuk jika bersentuhan dengan bukan mahram yang berlainan jantina?” soalan yang mudah, tapi kalau Tanya dengan lain ustaz, lain jawapannya. Antara jawapan bagi soalan ni  : 

Level 1 

Batal! 

(full stop. Jelas. Ringkas. Padat)

Level 2

Kita mazhab Syafie. Mazhab Syafie kata batal.

(masuk mazhab, tapi hanya Syafie sahaja)

Level 3

Mazhab Syafie kata batal. Tapi mazhab maliki dan Hambali kata tidak batal kalau sentuhan tanpa bernafsu. Kita mazhab Syafie. Jadi, hukumnya batal.

(ada penambahan info pandangan mazhab lain sekali walaupun masih menekankan mazhab Syafie)

Level 4

Mazhab Syafie kata batal. Tapi ada mazhab lain yang kata tak batal. Kita di Malaysia ikut mazhab Syafie, tapi boleh ikut mazhab lain kalau ada keperluan. Contohnya kalau tersentuh semasa melakukan ibadah tawaf, kita boleh ikut mazhab Hanbali dan Maliki yang mengatakan tidak batal wudhuk kerana sentuhan tersebut tanpa syahwat. Ini juga adalah pendapat mazhab Syafie yang marjuh (tidak kuat).

(ada peluang untuk ikut juga mazhab lain dengan bersebab)

Level 5

Berdasarkan petikan ayat daripada surah Al-Maidah ayat ke-6, 

……..dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan,……

Maka perkataan “sentuh” (laamastumu) dalam ayat tersebut dari segi bahasa membawa maksud “saling sentuh-menyentuh” yang menunjukkan jimak. Mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam erti kata kulit dengan kulit semata-mata.

Dan dari hadis pula, daripada ‘Aisyah r.’anha: “Aku pernah tidur di hadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu aku pun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)

Dan ada hadis lain juga daripada ‘Aisyah r.’anha: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tangan ku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.” (HR Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah r.ha. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah r.ha. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wuduk baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Maka, berdasarkan 2 hadis diatas, nyatalah setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wuduk. Ini adalah pendapat mazhab Hambali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah.

(berjela-jela)

Level kita?

Tak semua orang boleh menerima jawapan dari sesetengah level tersebut. Level jawapan ini kena bergantung kepada level orang yang menanya soalan juga. Jadi, kalau korang suka jawapan yang jenis macam mana? 


Rujukan

1. Norhasliza Shafi. (2019). Bila suami isteri bersentuhan ketika ada wuduk, batal atau tidak wuduk sebenarnya. Kashoorga. Dipetik dari https://www.kashoorga.com/bila-suami-isteri-bersentuhan-ketika-ada-wuduk-batal-atau-tidak-wuduk-sebenarnya/

2. Norsiah M. (2018). Sentuh Kulit Batal Wuduk – Pandangan Mazhab. Uito. Dipetik dari https://www.uito.org/2018/01/16/sentuh-kulit-batal-wuduk-pandangan-mazhab/

3. Muhammad Fathi Noordin. (2019). Al-Kafi #1118: Physical contact between husband and wife invalidate ablution?. Mufti of federal Territory, Malaysia. Dipetik dari https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3136-al-kafi-1118-physical-contact-between-husband-and-wife-invalidate-ablution

4. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2016). Al-Kafi #421 : Bersentuhan antara lelaki dan wanita ketika tawaf, adakah membatalkan wudhu’? dipetik dari https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1331-al-kafi-421-bersentuhan-antara-lelaki-dan-wanita-ketika-tawaf-adakah-membatalkan-wudhu

5. Kurau King. (2016). Part 20: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (rajih dan marjuh). Dipetik dari https://kurauking.blogspot.com/2016/08/part-20-memahami-hukum-syariat-dalam.html

6. Surah.My: Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu. Surah Al-maidah, 5:6. Dipetik dari https://www.surah.my/5