18.2.19

Misteri duit bawah bantal bayi


Kalau sebelum ni dalam entri bertajuk Kenduri kahwin | salam berisi vs ang pow aku dah share tentang budaya melayu bila menghadiri walimah kenduri kahwin. Kali ni tentang budaya orang kita bila menziarahi bayi pula.

Sebab aku baru sahaja menimang cahaya mata, jadi ramai la yang datang ziarah nak tengok baby. Alhamdulillah. Cuma aku agak terkejut bila orang dah balik, aku tengok bawah bantal bayi tetiba ada duit!

Duit bawah bantal bayi


Ingatkan duit dari alam bunian.. hahahaha.. mana la tau, anak aku ni ada karamah ke per.. tetiba je duit muncul bawah bantal. hahaha.. rupanya tetamu yang datang ziarah yang selitkan duit tu bawah bantal.

Serius aku baru tau tentang adat kalau nak ziarah bayi, selitkan duit bawah bantal bayi ni. Kalau setakat adat salam berisi masa kenduri tu aku tau la. Terkejut jugak la.

Kalau pasal bawak hadiah tu, aku tau la jugak. Tapi bab selit duit ni, baru 1st time tahu. Dah la selama ni setiap kali aku ziarah baby masa zaman bujang dulu, ziarah tangan kosong je. Haha.. hampeh betol.

Korang pernah buat?

7.2.19

Tahnik | belah mulut


Tahnik | belah mulut


Kalau sebelum ni aku dah share pasal amalan cukur rambut bayi, kali ni aku nak cerita pasal tahnik pulak. Sebab hari tu lepas je aku cukur rambut Ali, terus aku dengan pak mentua aku buat amalan tahnik pulak.

Dalil tahnik


hadis daripada Anas bin Malik RA, katanya:

“Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar”. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”
(Riwayat Muslim (2144), lihat syarh sahih muslim, jld. 7 hlm. 269)

Hadis seterusnya, daripada Abu Musa RA, katanya:
“Aku dikurniakan seorang anak lelaki membawanya menemui Rasulullah SAW. Baginda pun menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan tamar dan mendoakannya dengan barakah lalu memulangkannya kepadaku. Adalah dia anak lelaki yang paling tua Abi Musa”
Riwayat al-Bukhari (6198)

Hadis yang lain pula, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
“Kanak-kanak lelaki dibawa menemui Rasulullah SAW, lalu baginda mendoakannya semoga diberkati Allah dan mentahniknya.”
Riwayat Muslim (2147)

Bahan tahnik



Masa kami tahnikkan Ali, kami pakai kurma dengan air zam-zam je. Ambik isi kurma, letak dalam mangkuk kecil beserta sedikit air zam-zam. Lenyekkan kemudian pak mentua aku masukkan sedikit dalam mulut bayi menggunakan jari yang bersih.

Kalau ikut hadis diatas, nabi kunyah kurma, tak pakai air. Kalau tak nak kunyah, boleh pakai air zam-zam kalau ada. Kalau tak ada, boleh pakai air biasa. Sikit saja, jangan banyak. Kenapa air zamzam? Sebab air tu ada keberkatan. Ada dalil mengharuskan guna air zamzam.

Dalam kitab Akhbar Makkah karangan Al-Fakihi, beliau membawa satu athar yang mursal daripada Ata’ bahawa Habib berkata kepada Ata’, “aku perlu bawa air zamzam?” jawab Ata’:
“Ya, sesungguhnya Rasulullah SAW membawa air zamzam dalam botol lalu mentahnikkan Hassan dan Hussein dengannya menggunakan tamar ajwah.”
(Al-Fakihi, Akhbar Makkah 3/198)

Afdhal dan sunnah guna kurma, sepertimana hadis diatas. kalau dapat kurma ajwah lebih baik. Walaubagaimanapun, ada sesetengah pendapat yang mengatakan, kalau tiada kurma boleh digantikan dengan makanan semula jadi yang manis yang tidak dimasak, contohnya madu.

Akan tetapi, aku sangat tak galakkan penggunaan madu kepada bayi. Sebab dalam madu ada bakteria Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan makanan kepada bayi. Bakteria ni hanya terkesan kepada bayi sebab "bakteria baik" dalam perut bayi belum cukup berkembang untuk melawan "bakteria jahat" ni.

Siapa patut tahnikkan?



Kalau ikut kebiasaan orang buat, selalunya bapak budak akan bawa baby jumpa orang yang soleh dan bertakwa, meminta untuk mentahniknya dan mendoakannya supaya beroleh kebajikan dan keberkatan.

Amalan ni ada sandarannya, berdasarkan hadis-hadis yang kebanyakan para sahabat membawa bayi kepada Rasulullah SAW untuk ditahnikkan.

Dalam al-Mu’tamad menyebut, tahnik lebih patut dilakukan di kalangan orang yang soleh untuk berdoa kepada bayi yang baru dilahirkan dan jika sekiranya tiada yang lelaki, maka perempuan yang solehah juga boleh melakukannya.

Begitu juga kata imam An-Nawawi ketika mensyarahkan hadis Anas Bin Malik di atas menyebut antara pengajaran hadis tersebut adalah:
“sunat dilakukan tahnik oleh orang soleh lelaki atau wanita, dan boleh bertabarruk dengan kesan-kesan orang soleh”
(Syarh Sahih Muslim jld. 7 hlm. 269) 


Tapi, kalau bapak atau datuk sendiri yang nak tahnikkan bayi, tak ada masalah. Sebab ada juga sebahagian ulamak yang menolak pandangan tersebut atas dasar, keberkatan tahnik hanya pada Rasulullah SAW kerana selepas kewafatan Rasulullah SAW, tiada riwayat mengisahkan ramai orang berjumpa para sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, dan yang lain-lainnya untuk meminta mereka melakukan tahnik.

Wallahu a’lam.


entri berkaitan :
1. cukur jambul
2. tahnik 
3. aqiqah (cooming soon)

Sumber dan rujukan
1. Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani. Belah Mulut Bayi Anda. Addeen. Dipetik dari http://www.addeen.my/index.php/keluarga/anak-anak/item/66-belah-mulut-bayi-anda
2. Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub. (2016 Aug 26). AL-KAFI #367 : KAEDAH TAHNIK ANAK YANG BARU LAHIR. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Dipetik dari http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1320-al-kafi-367-kaedah-tahnik-anak-yang-baru-lahir
3. Rai Illani. (2017 Sept 12). Bahaya madu kepada anak kecil walaupun untuk bertahnik. Iluminasi, dipetik dari https://iluminasi.com/bm/bahaya-madu-kepada-anak-kecil-walaupun-untuk-bertahnik.html
4. Abdulla, C. O., Ayubi, A., Zulfiquer, F., Santhanam, G., Ahmed, M. A., & Deeb, J. (2012). Infant botulism following honey ingestion. BMJ case reports, 2012, bcr1120115153. doi:10.1136/bcr.11.2011.5153
5. Jay L. Hoecker. (2018 May 15). How can I protect my baby from infant botulism? Mayo Clinic. dipetik dari https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/expert-answers/infant-botulism/faq-20058477