petang tu, aku ingat nak pusing-pusing area Tumpat. so,
aku google je la tempat-tempat menarik kat Tumpat, dan antara yang berjaya
menarik perhatian aku ialah Makam Tok Janggut. malangnya, bila aku tanya member
aku yang dok tumpat, beliau tak pernah pergi lagi kat situ.
setelah aku cari cara nak ke sana melalui internet,
malangnya, apa yang aku dapat hanyalah tunjuk arah secara bertulis. tak ada
peta. bila aku cari dalam google earth pun tak ada. kata bloger yang bernama Muhammad QulAmirul Hakim ni, makam ni terletak
dalam sebuah kampung. kena rajin tanya orang kampung untuk ke sana.
"Makam Tok Janggut
terletak di Pasir Pekan, sebuah kampung selepas anda merentasi jambatan
KB-Tumpat. Kampung ini terletak di sebelah kanan jalan, jadi kena pusing
balik/cari jalan untuk ke kanan. Selepas mendapat pandangan seseorang di tepi
jalan, jalan untuk masuk ke kampung ini terletak selepas sungai kecil sebelum
jambatan panjang tu. Setelah masuk ke dalam kampung, pening juga nak cari Makam
Tok Janggut ni, tak ada papan tanda pun!!!
Akhirnya, hamba dapat idea.
Tanya dua org budak yang sedang naik 1 basikal dan mereka tahu tempat yang
dituju. Jadi, hamba ikut budak2 nilah....hingga sampai ke Makam Tok Janggut.
Bagi budak2 ni sorang 50 sen dan ucapkan terima kasih. "[1]
walaubagaimanapun, akhirnya berbekalkan
semangat kependekaran yang tinggi, sampai jugak aku kat
situ. betul kata bloger tu, kalau cari sendiri, memang susah nk jumpa sebab tak
ada dalam peta dan tak ada sign board langsung untuk tunjuk arah. aku
berjaya sampai pon sebab tanya orang kampung.
jadi, kalau ada sesiapa yang nak kesana, boleh tengok
peta kat bawah ni. kalau nak lebih tepat, ambil coordinate kat bawah tu,
masukkan dalam google map.
Coordinate : 6°
7'56.82"N 102°13'38.33"E
jika tengok melalui google map (map view), memang nampak macam tak ada jalan untuk ke situ. tapi try klik "satellite view" , ataupun kalau ada download google earth, paste-kan coordinate tu di situ. korang akan nampak macam kat bawah ni:
coordinate tu betul-betul pada bulatan merah.
dari area kampung pasir pekan tu, masuk kot lorong ni.
kawasan Makam Tok Janggut
Makam Tok Janggut
Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan bin Panglima Munas mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Tok Janggut dikatakan ada pertalian dengan Sultan Muhammad IV dimana bonda baginda diriwayatkan adalah adik beradik ayah atau ibu Tok Janggut. Ada riwayat mennyatakan bahawa beliau adalah anak murid Tok Ku Paloh. [1]
tentang sejarah dan latar cerita penentangan dan kebangkitan Tok janggut, rasanya semua dah sedia maklum kot. kan dah belajar dulu masa ambil SPM.
dulu, aku ada jumpa seorang kawan dalam satu kem. kem "Penulis Muda Nilam". beliau memang minat dalam bab sastera ni. tak silap aku, beliau sekarang sedang menuntut di ASWARA. apa yang mengkagumkan aku, masa tu beliau hafal sajak Tok Janggut dan boleh deklamasikannya dengan sangat baik.
masa beliau deklamasikan sajak tu (dalam kem), meremang bulu roma aku. sampai sekarang aku ingat walaupun dah hampir 6 tahun masa tu berlalu. kat bawah ni sajaknya.
Tok Janggut
Kuharung sungai kususur bukit tujuh gua yang silam
Aku murba perkasa kau tuduh penderhaka celaka
Aku tidak pandai berselindung dengan tembang dan senandung
Suaraku tak mungkin semerdu seruling
Aku tak rela tanah darahku diinjak dijajah
Aku tak rela hasil bumiku dicantas dipulas
Aku tak rela Melayu bangsaku dipandirkadukkan
Aku tak rela Islam agamaku disendatemehkan
Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
Tujuh lapis langit terpikul di bahu
Tujuh lapis bumi tercengkam di kaki
Aku pulang dari tanah Makkah yang putih dan suci
Ingin kulihat tanah darahku tanpa penjajah
Kubaca Jamaluddin Al-Afghani, kuhafal reformis Muhammad Abduh
Dan kugenggam ideologi Rashid Redha
Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
Anak Kelantan kelahiran Pasir Putih
Kampung Saring mahupun Jeram
Adalah padang permainanku
Adalah gelanggang silat
Tempat aku memperlimaukan diri
Aku pulang dengan siap sedia asal mula
Sebagai lelaki anak jantan perkasa
Aku siap sedia menitiskan darah ke ranting cempaka
Ini tanah darahku, tak akan kurela kaukikis habis
Kuoleng mangkuk mimpi para tiran
Inilah nafasku angin bergugus menyebarkan tandus
Dan, nah! darah matahariku akan terpercik ke tanah Pasir Putih
Ringkik angin topan, sedialah kau
Akan kuamuk kegetus kantung nyawaku
Kalaupun aku mati di tangan bangsaku
Aku mati sebagai pembela sejati
Mutiara tetap mutiara
Meskipun terpendam
Di perut tiram
Jauh pada dasar lautan!
-Rahimidin Zahari
saja aku nak pergi ziarah makam Tok Janggut ni, sebagai memperingati pahlawan agama dan bangsa yang pernah berjuang di tanah melayu ni. tambah pula, sebagai seorang yang pernah belajar ilmu pesilatan, aku rasa macam terpanggil untuk ziarah makam allahyarham. apa-apapun, semoga roh allahyarham ditempatkan bersama para pejuang yang syahid dijalan Allah.
sumber :
maa'ssalamah,
Pha is