Apakah Yang Anda Perlu Tahu Tentang Ubat Generik?



PULAU PINANG, 2 Feb – Jika dilihat pada saiznya, buku bertajuk ‘Apakah Yang Anda Perlu Tahu Tentang Ubat Generik’  mungkin agak kecil namun kandungannya disifatkan sangat lengkap dan merangkumi keseluruhan maklumat yang masyarakat harus tahu tentang ubatan generik.

Salah seorang penulis buku itu yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali berkata, ubat generik adalah ubat yang menunjukkan ciri kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang sama dengan produk berjenama.

Katanya, ia mengandungi bahan aktif dan bentuk formulasi kandungan aktif yang sama dengan produk asal dan dipasarkan setelah tarikh lesen pemilikan produk asal tamat, selain boleh diperoleh dengan kos yang jauh lebih murah berbanding produk asal.

``Penting untuk pengguna didedahkan kepada penggunaan ubatan generik kerana tidak semua masyarakat benar-benar memahami ubat berkenaan, malah ada juga yang beranggapan ubat generik berada pada kualiti yang jauh lebih rendah dari ubat asal.

``Menyedari kurangnya pemahaman pengguna, USM melalui PPSF tampil dengan buku ini yang menceritakan pelbagai fakta berkaitan ubatan generik termasuk definisi terma berkaitan, maklumat umum dan panduan yang amat membantu dengan bahasa yang paling mudah dan ringkas,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku tersebut oleh Dekan PPSF, Profesor Syed Azhar Syed Sulaiman di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Penerbit USM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Salleh Yaapar dan Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Nurulain Abdullah Bayanuddin.

Buku ‘Apakah Yang Anda Perlu Tahu Tentang Ubat Generik’ juga ditulis oleh dua lagi penulis merangkap pensyarah di PPSF, Dr. Jayabalan Thambyappa dan Dr. Asrul Akmal Shafie.

Tambah Mohamed Azmi, penghasilan buku itu turut berupaya menangkis mitos dan anggapan bahawa ubat generik sebenarnya tidak berkualiti, palsu, tidak selamat dan tidak setanding ubat asal ekoran harganya yang jauh lebih murah.

``Masyarakat perlu tahu bahawa tidak semua yang murah tidak berkualiti atau palsu. Di sektor lain mungkin fenomena ini berlaku tapi tidak di negara ini yang mana semua ubat termasuk generik perlu didaftarkan dengan Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BKFK).

``Sebelum sesuatu ubat diluluskan, segala dokumentasi pengilangan termasuk langkah dan perolehan sumber bahan aktif hingga pembangunan formulasi, bahan kimia diperlukan, ujian kestabilan, keselamatan dan keracunan juga turut dihantar ke BKFK,’’ jelasnya.

Sementara itu, Syed Azhar pula menegaskan, pengaran telah menyenaraikan rujukan yang berguna bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai ubat-ubatan generik.

``Kita berharap buku ini akan digunapakai sebagai sumber informasi kepada masyarakat umum serta boleh menambahkan lagi pengetahuan dan kefahaman kita berkaitan ubatan generik dan isu-isu berkaitan dengannya,’’ katanya.

Buku tersebut yang diterbitkan dalam dwi bahasa akan berada di pasaran dalam tempoh terdekat dan pengguna boleh mendapatkannya di Koperasi Kedai Buku USM serta di MPH Distributors Sdn. Bhd dengan harga serendah RM 10.

sumber : BUKU KECIL BANTU MASYARAKAT FAHAMI UBAT GENERIK

Comments

  1. dah baca pun tak paham pa 2 ubat generik....

    ReplyDelete
  2. macam ni la... ubat asal vs ubat generik.
    contoh ubat asal : panadol (lebih MAHAL, lebih popular).
    contoh ubat generik : milidon 650 (lebih MURAH, kurang popular).
    tapi, kedua-dua ubat ni sama je, sbb bahan aktifnya tetap paracetamol..

    ReplyDelete

Post a Comment