22.12.11

USM UNIVERSITI PERTAMA TERAJU PROGRAM KEUSAHAWANAN BIDANG FARMASEUTIKAL



Pulau Pinang, 16 Dis. – Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila buat pertama kali dipilih oleh syarikat kimia berprestij negara, Kumpulan Chemical Company of Malaysia (CCM) sebagai universiti pertama Malaysia menerajui bidang keusahawanan dalam bidang farmaseutikal.
Program yang dinamakan Jalinan Universiti dan Industri (JATI) di bawah Chemical Company of Malaysia (CCM) telah memilih USM sebagai peneraju dan kolaborasi bersama bagi mensasarkan 500 usahawan muda dari bidang Farmaseutikal sehingga tahun 2020.
Menurut Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), program kerjasama di antara CCM dan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM diharap dapat membuka dimensi baru buat pelajar yang bergraduan dalam bidang tersebut, bukan sahaja menjadi seorang ahli Farmasi berjaya,malah dibentuk menjadi ahli perniagaan dan usahawan masa hadapan.
“Sekiranya program JATI CCM-USM diambil penelitian secara terancang, saya percaya ia mampu melatih pelajar agar tidak terikat kepada sudut pandangan konservatif dan memupuk graduan agar berkeupayaan menjadi berbeza dengan yang lain melalui penyebaran ilmu untuk faedah masyarakat keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan program Jalinan antara Universiti dan Industri (JATI) CCM-USM di Kompleks Cahaya, USM.
Tambahnya lagi, Pusat Pengajian Sains Farmasi bukan sahaja perintis di dalam bidang penghasilan ubat-ubatan, malah telah melahirkan ramai graduan yang berdikari dan bekerja sendiri melalui bidang perniagaan.
“Graduan Farmasi USM senantiasa diperlengkapkan sebaik mungkin bukan sahaja ilmu tetapi juga pengalaman, cantuman ini saling melengkapi dan pastinya akan menguntungkan negara kelak”
Selain itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Prof. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, Pusat Pengajian Sains Farmasi telah menghasilkan sumber rujukan pertama di dunia untuk penghasilan perubatan menggunakan sumber bahan yang halal, iaitu Pharmacopia.
“Pihak PPSF melalui kerjasama dan buah idea para pensyarah dan penyelidik telah berjaya menghasilkan Pharmacopia, sumber rujukan pertama dunia untuk ahli farmasi merujuk dan menganalisis bagi mencipta ubat-ubatan menggunakan bahan yang sah dari segi kehalalannya,” katanya selepas majlis perasmian.
Katanya, sekiranya tiada apa-apa halangan, Pharmacopia bakal dilancarkan pada tahun hadapan dan USM merupakan perintis pertama dunia yang menghasilkan sumber rujukan tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia (CCM) dan Prof. Sudesh Kumar, Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat USM.




No comments:

Post a Comment